BENCANA PENGLIHATAN TERHAD

Ramai rakyat Malaysia kehilangan penglihatan setiap tahun menyebabkan kesedihan yang membingungkan, hilang kepercayaan diri dan sebagainya. Kehilangan penglihatan kekal selalunya berlaku terhadap golongan yang berusia 65 tahun ke atas.

Anda mungkin mengalami penglihatan terhad sekiranya tidak dapat melihat dengan jelas dan mengalami masalah melakukan kerja harian seperti membaca surat khabar, menonton, televisyen, mengenali rakan (walaupun dengan bantuan kaca mata, kanta sentuh, bantuan perubatan atapun surgeri).

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO): International Statistical Classification of Diseases and Related Health Problems(ICD-10) mendefinisikan penglihatan terhad apabila tahap akuiti visual seseorang antara 6/18 dan 3/60 dengan pembetulan terbaik atau keluasan medan penglihatan seluas 20 darjah atau kurang. Tahap penglihatan normal ialah 6/6. Sebagai contoh, orang yang mempunyai tahap penglihatan 6/60 bermakna beliau boleh melihat objek pada jarak 6 meter, manakala yang tiada masalah penglihatan boleh melihat objek sejauh 60 meter. Keluasan medan penglihatan normal adalah antara 160-170 darjah melintang.

Kebanyakan pesakit penglihatan terhad mempunyai baki penglihatan yang masih boleh digunakan yang mana mereka masih boleh bergerak dan melakukan tugas harian tanpa masalah besar. Penglihatan yang terhad banyak terjadi di kalangan orang dewasa berbanding kanak-kanak. Di seluruh dunia ketika ini, dianggarkan seramai 180 juta orang mengalami masalah penglihatan. Dianggarkan 45 juta mereka yang buta yang mana hampir 20 peratus, iaitu 9 juta orang tidak boleh melihat cahaya. Mereka ini memerlukan latihan orientasi dan mobiliti serta pemulihan lain.

Seramai 135 juta orang mengalami masalah penglihatan terhad (ICD-10) manakal 36 juta orang dalam kategori buta  dengan penglihatan residual (masih boleh melihat cahaya sehingga tahap akuiti visual kurang  daripada 3/60) menjadikan keselurhannya 171 juta orang.

Kajian National Eye Study 1996, menganggarkan seramai 540,000 orang berpenglihatan terhad dan kira-kira 50,000 orang buta terdapat di Malaysia. Seramai 50,000 orang kanak-kanak mengalami masalah penglihatan terhad dan 5,000 menjadi buta. Bilangan ini dijangka bertambah dari semasa ke semasa.

FAKTOR PENYEBAB

Peningkatan usia secara amnya akan menyebabkan berlakunya perubahan penglihatan tetapi selalunya tidak akan menyebabkan penglihatan terhad. Warga emas berusia 65 tahun ke atas mempunyai risiko lebih tinggi untuk mengalami masalah penglihatan terhad.Penglihatan terhad boleh terjadi akibat pelbagai pelbagai, kecedaraan ataupun kecacatan kelahiran. Ramai pesakit dengan penglihatan terhad mengalami age-realated macular degeneration (ARMD), katarak, glaukoma atapun diabetik retinopati. ARMD menyebabkan bahagian retina rosak yang mana bahagian tengah kelihatan bertompok hitam atau skotoma. Katarak menyebabkan kanta kristalin menjadi tidak jernih. Glaukoma menyebabkan tekanan dalam mata dan merosakkan saraf optik.

Diabetik retinopati pula merupakan komplikasi daripada diabetes yang mata salur darah retina bocor, rosak, ataupun tersekat menyebabkan pendarahan dan seterusnya masalah penglihatan. Di negara maju seperti Amerika Syarikat, 45 peratus kes penglihatan terhad ialah ARMD. Manakal di Malaysia, penyebab utama masalah penglihatan terhad ialah kesalahan refraksi yang tidak dibetulkan (48 peratus) dan katarak (36 peratus).

Risiko kehilangan penglihatan dapat dikurangkan jika dikesan dan dirawat lebih awal. Sekiranya berlaku perbezaan antara perubahan semulajadi pada mata akibat peningkatan usia, berbanding penyakit mata, dapatkan nasihat segera daripada optometris anda.

PETANDA DAN GELAJA

* Menghadapi masalah mengenali wajah rakan atau saudara terdekat walaupun memakai kaca mata
* Terpaksa bergerak lebih dekat untuk melihat dengan jelas sewaktu melakukan aktiviti membaca,
   menulis, menjahit dan memasak.
* Memilih pakaian  dengan warna sesuai menjadi semakin sukar
* Sukar melakukan kerja rumah seolah-olah cahaya semakin malap
* Kesukaran membaca nombor atau papan tanda seperti nombor plet kenderaan, nama jalan
   dan sebagainya.


LAKUKAN SERVIS PEMULIHAN 

Sekiranya masalah penglihatan anda tidak dapat dipulih melalui kaca mata, kanta sentuh, rawatan atau pembedahan, anda seharusnya meminta untuk melakukan servis pemulihan penglihatan. Servis ini merangkumi pemeriksaan penglihatan terhad, latihan mengunakan penglihatan yang tinggal dan penggunaan alat bantuan, kumpulan sokongan dan persatuan serta latihan melakukan tugas harian dengan  cara yang baharu. Sekiranya ahli keluarga anda atau rakan anda mengalami masalah ini, galakan mereka membuat pemeriksaan.

Pemeriksaan tahap penglihatan dan preskripsi alat bantuan penglihatan terhad merupakan sebahagian sebahagian daripada servis komprehensif penglihatan terhad. Optometris boleh melakukan pemeriksaan ini. Fokus utama adalah untuk menentukan sama ada masalah penglihatan menjejaskan kualiti hidup seseorang atau tidak dan keperluan pesakit. Alat bantuan membantu pesakit menggunakan baki penglihatan terhad dan berdikari, misalnya membantu pesakit kanak-kanak memeriksa mainan mereka atau melihat objek sekeliling mereka.

FAKTA PENTING:

* 45 JUTA PENDUDUK DUNIA BUTA KERANA MASALAH PENGLIHATAN
* 50,000 PENDUDUK MALAYSIA BUTA BERMULA DENGAN MASALAH PENGLIHATAN
* 5,000 KANAK-KANAK MALAYSIA BUTA KERANA MASALAH PENGLIHATAN TERHAD
* 180 JUTA ANGGARAN PENDUDUK SELURUH DUNIA MENGALAMI MASALAH
   PENGLIHATAN
* 9 JUTA TIDAK BOLEH MELIHAT CAHAYA
* RISIKO MENJADI BUTA KEKAL JIKA TIDAK ADA RAWATAN DAN PEMULIHAN SEGERA



Dipetik daripada artikel 'Bencana Penglihatan Terhad', BH, 28 April 2013

.




No comments: