JANGAN NAFIKAN HAK BAYI ANDA



Saat bayi anda dilahirkan maka anda sudahpun lengkap bergelar ibu. Anda juga mungkin sudah menyedari kepentingan susu ibu untuk si manja kesayangan anda. Namun apakah cukup sekadar mengetahui sahaja khasiat susu ibu untuk bayi anda jika anda tidak bersedia mengambil sebarang inisiatif untuk mengamalkannya  atau tidak pernah bersedia untuk memberikan susu kita kepada bayi kita atas alasan kecantikan? Amalan menyusukan bayi bukan sekadar kemahiran si ibu semata-mata tetapi atas sebab yang paling penting, iaitu kesihatan bayi kita

Anda pasti berasa gembira kerana berjaya menjadi ibu dan tentunya menerima ucapan tahniah tetapi ucapan itu sebenarnya belum cukup menjadikan anda sebagai ibu yang sempurna atau dalam kata lain, anda sebenarnya masih 'gagal' menjadi ibu yang sempurna jika secara sengaja anda enggan memberikan bayi anda khasiat susu ibu. Namun bagi mereka yang sudah bersedia sejak awal berumah tangga untuk menyusukan bayi mereka dengan susu sendiri, anda  sememangnya layak menerima ucapan tahniah walaupun anda belum lagi melahirkan bayi anda. Apakah khasiat yang ada dalam susu ibu untuk kesihatan si kecil?


 


Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan bahawa KOLOSTRUM, iaitu susu ibu yang berwarna kekuningan dan lekit yang dihasilkan dalam fasa akhir kehamilan merupakan bekalan makanan terbaik untuk bayi yang baru lahir. Persoalannya, bagaimana anda hendak memulakan amalan yang mulia ini? Bilakah waktu yang paling sesuai?

Menyusukan bayi buat kali pertama adakalanya menjadi sukar, lebih-lebih lagi susu 'enggan' keluar dan badan anda masih dalam keadaan penat. Anda juga mungkin masih dalam keadaan trauma kesakitan bersalin. Untuk mengelakkan kegagalan penyusuan, pastikan anda dalam keadaan tenang dan bersedia. Pertama, ambil peluang untuk memegang bayi anda terlebih dahulu. Bersentuhan kulit dalam suasana tenang, tidak stres dan tidak tergesa-gesa, membantu anda berada dalam posisi bersedia. Paling penting, kemesraan anda dan bayi anda tidak harus disekat dengan sebarang tempoh dan penyusuan itu harus dimulakan secepat mungkin selepas bayi anda dilahirkan. 

Untuk memastikan anda berjaya dalam misi penyusuan bayi anda,  anda seharusnya memupuk kecenderungan untuk bersedia memberikan susu badan sejak awal perkahwinan. Pembacaan dan pemahaman tentang kelahiran dan khasiat susu ibu boleh membantu anda untuk bersedia mental, emosi dan fizikal  agar penyusuan jangka panjang berjaya. Kolostrum susu ibu bukan sahaja penting untuk perkembangan  dan pembangunan bayi tetapi juga memberi manfaat kesihatan yang berterusan sehingga bertahun-tahun akan datang.

Penyelidikan saintifik menunjukkan bahawa kejayaan penyusuan susu ibu untuk jangka panjang bermula awal selepas bersalin, sebaik-baiknya dalam masa SEJAM selepas kelahiran bayi anda.  Ini bermakna, anda seharusnya mengelakkan memberi susu formula sebagai makanan pertama bayi anda melainkan atas sebab-sebab perubatan bayi.  Jika susu tidak keluar dan anda terus memberikan susu formula sehari atau beberapa hari pertama kelahiran, anda sebenarnya telah pun mengurangkan peluang kejayaan menyusukan bayi anda sendiri dalam jangka panjang.

Sentuhan kulit dengan kulit antara anda dengan bayi anda yang baru dilahirkan sangat penting. Oleh itu, dakaplah bayi anda dengan secepat mungkin selepas kelahirannya. Menerusi hubungan intim dan istimewa ini, bayi anda dapat mengecam bau payudara anda dan seterusnya akan menghalakan mulutnya ke puting payudara anda. Ketahuilah, bayi berada dalam keadaan cerdas selepas dilahirkan dan dengan sendirinya akan mencari-cari payudara anda semasa berada dalam pelukan anda.

          


Sekiranya penyusuan tidak berjalan lancar seperti yang anda harapkan, usahlah berasa kecewa. Anda mungkin memerlukan sedikit galakan:

1. Jika perlu, tarik nafas panjang-panjang. Jika susu belum keluar dan bayi anda menangis, cubalah  tenangnya 
     terlebih dahulu.
2.  Pegang bayi anda dalam kedudukan anda dan bayi berasa selesa.
3. Suakan puting payudara anda ke bibir bayi anda dan usapkan puting pada bibirnya jika bibirnya masih  belum 
    terbuka.
4. Tunggu hingga mulutnya terbuka lebar  terlebih dahulu sebelum anda memasukkan puting payudara ke     
    dalam mulut bayi anda.
5.  Jangan kecewa atau susah hati jika penyusuan pertama gagal. Anda sebenarnya telah membantu bayi  anda 
    mengenali/mengecam puting payudara anda. Penyusuan untuk kali kedua akan lebih mudah melainkan susu        anda masih juga belum keluar.



                                     


Kelebihan Susu Ibu

Banyak kajian membuktikan kelebihan susu ibu berbanding susu buat formula. Susu ibu adalah makanan terbaik untuk bayi sejak ia dilahirkan kerana ia mempengaruhi pembentukan fizikal dan juga mental anak-anak. Menyusu bayi dengan susu ibu adalah langkah penting ke arah perkembangan dan pembesaran bayi yang sihat. Islam sendiri menggalakkan  supaya setiap bayi diberikan susu ibu sejak daripada hari pertama kelahiran lagi.  

“Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu," (Surah Al-Baqarah: 233)


Penyusuan badan membantu bayi anda melawan infeksi semasa bulan pertama kehidupannya. Susu ibu mengandungi antibodi yang membantu melindungi bayi anda daripada penyakit seperti kuman dalam perut (gastroenteritis), selesema, jangkitan urinari dan telinga. 

Susu ibu mempunyai rantai ganda asid lemak politaktepu, yang penting untuk membantu otak bayi berkembang. Penyusuan ibu semasa bulan-bulan pertama akan memperbaiki perkembangan kognitif bayi anda. Secara teori, ini bermakna menyusu badan boleh membuat bayi anda lebih pintar. 

Susu ibu juga mengurangkan risiko bayi anda mendapat kondisi alergik seperti asma dan ekszema. Ia juga boleh mengurangkan risiko bayi anda  mendapat penyakit serius seperti kencing manis kanak-kanak dan leukemia. 

Selain antibodi dalam susu ibu, badan anda juga  berfungsi menghasilkan antibodibaru sebaik sahaja anda terdedah kepada infeksi. Antibodii ini dipindahkan ke susu anda, dan sedia untuk diterima oleh bayi anda  sebaik sahaja bayi anda mendapat penyusuan badan  yang seterusnya. 

                                          

Penyusuan badan juga merupakan pilihan yang paling sihat untuk anda. Ia mengurangkan risiko anda mendapat mendapat kanser payudara pra-menopaus, kanser ovari dan retak tulang dari osteoporosis pada usia tua anda. 

Untuk membolehkan penyusuan secara eksklusif selama 6 bulan dicapai, anda hendaklah mengamalkan perkara-perkara  yang berikut :
i.   Penyusuan susu ibu perlu dimulakan dalam masa satu jam pertama selepas kelahiran bayi.
ii.  Penyusuan eksklusif, iaitu bayi hanya diberikan susu ibu tanpa sebarang makan atau minuman walaupun air 
     masak.
iii.  Ibu perlu menyusu mengikut kehendak bayi, iaitu kekerapan menyusu adalah bergantung pada permintaan 
     bayi.
iv.  Tidak memberikan sebarang botol atau puting tiruan kepada bayi dalam tempoh enam bulan pertama.v.  Semua jenis cecair tidak digalakkan diberikan kepada bayi kecuali ubat-ubatan atau rawatan yang diperlukan 
     oleh bayi tersebut

Sama ada anda sedar atau tidak, penyusuan badan mempunyai banyak faedah bagi kedua anda dan bayi anda. Ia cara yang istimewa untuk anda rapat dan mesra dengan bayi anda.  Penyusuan susu ibu perlu diberikan secara eksklusif kerana bayi akan memperoleh kebaikan yang banyak, Penyusuan susu ibu secara eksklusif bermaksud bayi hanya diberikan susu ibu dalam masa enam bulan pertama selepas kelahirannyaTiada makanan atau minuman lain diberikan pada bayi dalam tempoh tersebut. Susu ibu memberikan bayi semua yang diperlukan untuk berkembang maju dalam enam bulan pertama hidupnya.  Anda boleh meneruskan penyusuan badan setelah bayi anda mula makan pepejal di sekitar enam bulan. Susu ibu penuh nutrien dan akan terus mendatangkan kebaikan bagi bayi. Dari sudut praktikal, satu faedah besar penyusuan badan ialah ianya sangat mudah diurus. Tiada apa untuk dicuci, disteril atau disediakan. Anda dan bayi anda akan gembira melakukannya, dan anda akan merasakan satu kepuasan melihat si kecil anda membesar. 


Percayalah, saat-saat bayi anda berada dalam dakapan anda dan menyusunya dengan susu badan anda merupakan pengalaman paling manis dan menakjubkan yang anda dan bayi anda sahaja yang dapat merasakannya.



                 


























No comments: